Taktikal Arsenal macam ‘sampah’

Image result for Unai Emery

LONDON 13 Ogos – Unai Emery sudah berasa bahang hanya selepas membimbing Arsenal dalam perlawanan pertama apabila taktik permainannya disifatkan seperti ‘sampah’ ketika Gunners tewas 0-2 kepada Manchester City dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri, semalam.



Bekas pengendali England, Sam Allardyce menyalahkan kekalahan Arsenal di bahu Emery kerana menganggap pendekatan taktikal yang digunakan pengurus baharu Gunners itu tidak sesuai dengan bola sepak Inggeris.

Selepas berjanji akan membawa pembaharuan kepada Arsenal dan me­lakukan beberapa pembelian pemain pada pramusim, Emery akhirnya berdepan realiti sebenar di depan ribuan penyokong di Emirates.

“Ini (kekalahan) salah pe­ngurus. Jangan suruh pasukan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan menentang Manchester City.

“Apa yang dilakukan Manchester City? Memberi tekanan, tekanan dan tekanan, jadi mengapa kamu bermain di belakang (bertahan) sepanjang masa, malah anda boleh nampak penyokong Arsenal mengejek apabila separuh pasukan berkampung di tempat sendiri.

“Anda tidak boleh bermain dengan taktik begini di negara ini,” kata Allardyce kepada program talkSPORT.




Sementara itu, Emery mengakui, kekalahan pasukannya berpunca daripada taktik yang tidak menjadi.

Begitupun, dia melihat ada petanda positif ditunjukkan sepanjang 90 minit permainan.

“Ini (taktik) baru digunakan. Hari ini hanya proses pertama dan kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Saya nampak ada petanda positif ditunjukkan dalam tempoh 90 minit permainan,” kata Emery.

Jaringan City dalam perlawanan itu disempurnakan Raheem Sterling pada minit ke-14 dan Bernardo Silva, minit ke-64. – AGENSI