Bayern Munich rangkul Piala Super DFL

BAYERN merangkul Piala Super DFL selepas mudah menundukkan Eintracht

BAYERN – Ketua Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac memberi penghargaan tertinggi kepada bekas pengendali, Jupp Heynckes kerana mewariskan skuad yang cemerlang kepada­nya yang mengambil alih jawatan kerusi No. 1 di Allianz Arena pada April lalu.



Ia dapat dibuktikan menerusi kemenangan 5-0 ke atas Eintracht Frankfurt pada final Piala Super DFL awal pagi semalam yang turut menyaksikan ayam tambatannya, Robert Lewandowski meledak hatrik.

“Lewandokwski adalah penyerang berkelas dunia dan ia dapat dibuktikan pada hari ini. Bukan mudah untuk menjaringkan hatrik dalam tempoh 70 minit dan segala galanya adalah hasil daripada air tangan Heynckes.

“Terima kasih diucapkan kepada Heyn­ckes kerana meninggalkan pasukan yang cukup kuat kepada saya. Saya sa­ngat gembira kerana dapat bekerjasama dengan skuad terhebat di dunia ini. Harap-harap aksi cemerlang ini akan konsisten,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Commerzbank Arena itu, Lewandowski berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-21 sebelum menambah dua lagi gol pada minit ke-26 dan 54.




Pemain tengah, Kingsley Coman turut mencetak nama selaku penjaring gol pada minit ke-63 disusuli gol kelima yang hadir menerusi percubaan Bayern, Thiago Alcantara lima minit sebelum perlawanan itu tamat.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Croatia itu berkata, kunci kejayaan mereka terletak di tengah dua pemain iaitu Joshua Kimmich (pemain pertahanan) dan Lewandowski yang bijak mencari kelemahan pasukan lawan.

“Pada mulanya kami menerima tenta­ngan yang sukar kerana pihak lawan lebih gemar beraksi secara bertahan. Namun, kedua-dua pemain itu menemui ramuan terbaik untuk memanipulasi perlawanan sehingga menyaksikan kami berpesta gol,” ujarnya. – Agensi