Kelab EPL masih untung walaupun stadium kosong

Image result for stadium emirate

LONDON 14 Ogos – Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mendapat begitu banyak wang daripada siaran televisyen sehinggakan separuh daripadanya masih mampu mendapat untung walaupun jika stadium kosong, menurut laporan BBC.



Menggunakan statistik yang dikumpulkan dari musim 2016/17, iaitu waktu kelab-kelab meraih keuntungan 8.3 bilion pound (RM43.34 bilion), yang merupakan rekod, daripada siaran TV di seluruh dunia, pendapatan daripada hari perlawanan menyumbang kurang satu perlima daripada pendapatan setiap 18 pasukan dalam Liga Perdana.

Jumlah kelab yang merekodkan keuntungan sebelum cukai walaupun jika pendapatan daripada hari perlawanan tidak dikira meningkat daripada dua pada 2015/16 kepada 10 pada 2016/17.

Hanya Tottenham Hotspur daripada enam kelab terbesar berada dalam senarai itu, yang diterajui oleh West Bromwich Albion.

Dr. Rob Wilson, yang merupakan pakar kewangan sukan di Universiti Sheffield Hallam, memberitahu BBC bahawa per­ubahan ke atas kewangan kelab adalah disebabkan oleh perjanjian siaran TV yang dipersetujui pada 2012 yang menghasilkan 3.018 bi­lion pound (RM15.76 bilion).

“Ini berlaku apabila fokus diberikan terhadap menjana wang daripada siaran TV berbanding penjualan tiket pada hari perlawanan.




“Struktur perolehan kelab-kelab berkenaan buat masa ini akan terus kekal.

“Apabila anda mendapat 120 juta pound (RM626.6 juta) daripada Liga Perdana, anda boleh bermain dalam stadium kosong,” kata­nya kepada BBC.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Persekutuan Penyokong Bola Sepak, Malcolm Clarke berkata, syarikat TV se­perti Sky dan BT Sport tidak akan mahu membayar begitu banyak jika bukan disebabkan oleh suasana di dalam stadium.

“Punca mereka mendapat perjanjian lumayan dengan TV adalah kerana produk dihasilkan menunjukkan penonton, suasana bising, penyokong pasukan pelawat dan suasana – semuanya memainkan peranan.

“Betapa bosannya jika menyaksikan perlawanan Liga Perdana dalam stadium kosong?,” kata Clarke kepada BBC.

Betapa pentingnya penyokong menghadiri perlawanan diper­akui di Sepanyol yang memper­kenalkan denda ke atas kelab pada awal musim 2016/17 jika TV merakamkan terdapat ruang kosong di stadium. – AFP