Status Nidzam diputuskan Jumaat ini

ALOR SETAR: Status ketua jurulatih Kedah yang kini digalas oleh Nidzam Adzha Yusoff bakal ditentukan oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Jumaat ini.



Ketiadaan kelibat Nidzam sewaktu latihan pasukan yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Alor Setar sejak dua hari lalu, turut menjadi tanda tanya dan mengundang persoalan sama ada berlaku sebarang pertukaran atau perubahan dalam tugas kejurulatihan skuad Lang Merah.

Menurut Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali, pihak pengurusan KFA akan memutuskan kedudukan ketua jurulatih berkenaan pada satu mesyuarat yang akan diadakan di Alor Setar pada Jumaat ini termasuk membincangkan hal-hal semasa dan perancangan persatuan itu.

“Kita akan menentukan kedudukan Nidzam selaku pengendali utama pasukan serta fokus terbaik bagi pasukan yang kini berjuang untuk saingan Piala Malaysia musim ini.”




“Buat masa ini kita tak dapat memaklumkan apa apa jawapan selain menunggu keputusan yang akan ditentukan pada mesyuarat hari Jumaat ini.”

Sementara itu latihan harian pasukan Kedah yang dijalankan di padang latihan SSAH sejak Isnin lalu dikendalikan oleh Penolong Ketua Jurulatih Azzmi Ab Aziz.

Menurut Khamal lagi, isu sama ada mahu meneruskan khidmat penyerang import Paulo Rangel yang tidak beraksi pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Jumaat lalu juga turut akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan.

“Buat masa ini pihak KFA belum membuat apa-apa pengumuman berkaitan keputusan isu yang dikaitkan ini, namun saya yakin KFA akan memutuskan perkara berkenaan selepas membuat penilaian dengan sebaik mungkin.”

Terdahulu Khamal berkata KFA akan mempertimbangkan baik buruk keputusan yang bakal diambil dengan kepentingan pasukan menjadi keutamaan dan beliau menegaskan kata putus terletak di tangan KFA.