Persembahan kita nampak kurang berkesan – Kim Swee

Image result for malaysia asian games 3-1

JAKARTA 15 Ogos – Skuad bawah 23 tahun negara (B-23) membuka tirai Kumpulan E Sukan Asia 2018 dengan aksi meyakinkan selepas menewaskan Kyrgyzstan 3-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung hari ini namun masih belum memuaskan pengendalinya Datuk Ong Kim Swee.

Kemenangan itu membuka peluang skuad muda negara untuk melangkah ke suku akhir tetapi Kim Swee sebaliknya melihat perlawanan itu mendedahkan beberapa kelemahan yang harus diperbaiki sebelum anak didiknya menentang lawan lebih kuat iaitu Korea Selatan pada Jumaat ini.



“Bagi saya tiga mata adalah sesuatu yang penting, begitu juga jumlah jaringan namun secara keseluruhannya persembahan kita nampak kurang berkesan.

“Kita dibolosi pada babak kedua selepas menguasai babak pertama perlawanan dan beberapa ketika kita kehilangan bola, ini adalah sesuatu yang harus kita perbaiki menjelang perlawanan kedua nanti,” kata Kim Swee.

Gandingan trio penyerang negara Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid melaksanakan tugasan mereka dengan baik apabila bijak memanfaatkan peluang di hadapan gawang lawan.




Gol awal Malaysia hadir pada minit ke-37 selepas pengadil perlawanan Lau Fong Hei dari Hong Kong menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad kebangsaan yang dimanfaatkan dengan baik oleh Safawi.

Penalti tersebut diperoleh selepas Akhyar dijatuhkan oleh pemain pertahanan lawan Tamirfan Kozubaef ketika pemain Kedah itu sedang bergerak solo ke gawang lawan.

Babak kedua menyaksikan Kyrgyzstan mula mengubah rentak permainan kepada lebih pantas sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain tengah Ernist Batyrkanov pada minit ke-55.

Gol penyamaan tersebut memaksa skuad negara memperkemaskan semula corak permainan dan berjaya meraih gol kedua pada minit ke-61 menerusi rembatan kencang Akhyar dan Syafiq menghalang terus kebangkitan lawan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-78. – UTUSAN