Skuad Kim Swee sedia hadapi Heung-min

Image result for Heung-min

JAKARTA 17 Ogos – Korea Selatan berkemungkinan akan memberikan bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min pengalaman pertamanya beraksi dalam Sukan Asia 2018 malam ini tetapi bagi Datuk Ong Kim Swee tumpuan pasukannya adalah terhadap semua pemain gergasi dari Asia Timur itu.

Katanya, Korea Selatan sudah tentunya merupakan pasukan pilihan dan memiliki kekuatan di semua posisi malah pemainnya termasuk di bangku simpanan adalah berkualiti tinggi seperti yang ditunjukkan ketika mem­belasah Bahrain 6-0 semalam.



Malaysia hanya memerlukan keputusan seri daripada perlawanan itu untuk mara ke pusingan kalah mati.

“Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Korea Selatan berada di tahap yang berbeza kerana semua 20 pemain yang mereka bawa ke temasya kali ini memiliki kualiti seimbang.

“Meskipun mereka turut mempunyai pemain hebat seperti Son Heung-min tetapi saya tidak mahu terlalu fokus terhadap kawalan individu terutama selepas mereka menang besar ke atas Bahrain.

Pemain sayap kiri Spurs, Heung-min duduk di bangku simpanan sambil menyaksikan rakan-rakannya memperkotak-katikkan pertahanan Bahrain di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung semalam.

Di atas kertas, Korea Selatan di­letakkan sebagai pilihan untuk menjuarai Kumpulan E dan memenangi perlawanan esok namun tiada yang mustahil perkara sebaliknya berlaku jika Malaysia menunjukkan aksi hebat seperti dilakukan dalam Kejohanan Bawah 23 AFC di China pada Januari lalu walaupun Malaysia kalah 2-1 dalam suku akhir.




Kim Swee juga percaya momentum kemenangan 3-1 ke atas Kyrgyztan semalam mampu diteruskan.

Katanya, fokus utama akan diberikan terhadap aspek serangan balas pantas selain memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengelakkan gawang negara dibolosi.

“Bagi saya, tiada yang mustahil dalam bola sepak cuma beberapa perubahan aspek taktikal perlu dilakukan terutama dari segi serangan balas pantas,” katanya.

Kim Swee juga mengesahkan bahawa perubahan akan dilakukan terhadap kesebelasan pasukan kerana beberapa pemain termasuk Dominic Tan dan penye­rang Akhyar Rashid me­ngalami kecederaan ringan.

“Saya akan teliti dahulu tahap kecergasan mereka hingga saat terakhir kerana enggan mengambil sebarang risiko ke atas pasukan, jika cergas mereka akan beraksi.

“Pemain perlu terus fokus dan sedar bahawa hanya satu mata diperlukan untuk melayakkan mereka ke pusingan seterusnya,” kata Kim Swee. – UTUSAN