Piala Malaysia: Perak kutip tiga mata pertama
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Perak melakar kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Skuad kendalian Mehmet Durakovic terpaksa menunggu hingga minit ke-40 sebelum berjaya menembusi gawang lawan menerusi percubaan Jad Noureddine sebelum Gilmar Da Silva menggandakan jaringan pada minit ke-63. Kemenangan tersebut membolehkan Perak menduduki tangga kedua Kumpulan A.
Sementara itu, bagi aksi Kumpulan B menyaksikan Felda United bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan PKNS FC 3-2 di Stadium Shah Alam.
Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Rafael Ramazotti pada minit ke-16 sebelum Faris Ramli mengukuhkan kedudukan empat minit kemudian.
Bagaimanapun, kelebihan tersebut tidak tahan lama apabila Iain Ramsay menjaringkan gol pada minit ke-38 sebelum Gilberto Fortunato meledak gol kedua Felda United pada minit ke-68. Gol kemenangan Felda United dijaringkan oleh Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman ketika permainan berbaki 10 minit. – UTUSAN