Samurai Biru tunggu anak buah Kim Swee

U-21 Japan National Team faces Vietnam with the group lead at stake in the 18th Asian Games 2018 Jakarta Palembang

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak negara akan menentang satu lagi gergasi Asia, Jepun pada aksi pusingan 16 terbaik Sukan Asia Jakarta-Palembang di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi Jumaat ini.



Ini selepas skuad Samurai Biru itu tumbang 0-1 di tangan Vietnam pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang, petang semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah Vietnam, Nguyen Quang Hai seawal minit ketiga.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam yang juga naib juara Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 mengesahkan tiket sebagai juara Kumpulan D dengan sembilan mata.

Sementara Jepun yang dibimbing Moriyasu Hajime itu terpaksa berpuas hati dengan kedudukan selaku naib juara selepas memungut enam mata.




Dengan tiket sebagai juara Kumpulan D, skuad bimbingan Park Hang Seo itu dilihat memiliki laluan yang lebih mudah apabila dijadual bertemu pasukan ketiga terbaik daripada Kumpulan B, E atau F.

Terdahulu, Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas meraih kemenangan ke atas Krygyzstan 3-1 dan Korea Selatan 2-1 untuk muncul selaku juara Kumpulan E.

Berdasarkan rekod pertemuan antara Malaysia dan Korea Selatan, tempat Malaysia selaku juara kumpulan tidak tergugat meskipun anak buah Datuk Ong Kim Swee itu tewas di tangan Bahrain dan Korea Selatan menewaskan Krygyzstan pada aksi terakhir peringkat kumpulan, malam ini.