VIDEO Gareth Bale tampil memukau selepas era Ronaldo

Bale lines up an early effort as Real Madrid look to make an early breakthrough at the Bernabeu in their opening La Liga game

MADRID: Real Madrid membuat permulaan La Liga yang sempurna selepas menewaskan Getafe 2-0, pagi tadi dengan Gareth Bale tampil memukau dalam aksi sulung liga selepas berakhirnya era Cristiano Ronaldo.

Tandukan awal Bale sekadar terkena palang, dia kemudiannya melorongkan bola kepada Dani Carvajal yang menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-20 sebelum mengesahkan kemenangan Real menerusi rembatan di awal babak kedua.



Penyerang Wales itu diberi penghormatan oleh penyokong tuan rumah dalam perlawanan kompetitif pertama di Santiago Bernabeu sejak menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Liverpool di pentas final Liga Juara-Juara.

Keputusan itu sekurang-kurangnya mengendurkan tekanan ke atas jurulatih baharu Julen Lopetegui selepas kekalahan perit 2-4 kepada Atletico Madrid dalam aksi Piala Super UEFA, Rabu lalu untuk menyaksikan Real menyertai Barcelona dengan tiga mata selepas satu perlawanan.





Pun begitu, kedudukan peneraju kini disandang Sevilla berdasarkan kelebihan gol selepas mereka berjaya mengatasi Rayo Vallecano 4-1 menerusi ledakan hatrik penyerang baru Andre Silva yang dipinjamkan daripada AC Milan.

“Ia adalah penting untuk membuat permulaan baik dan kami bermain dengan baik, kami perlu mengambil sedikit demi sedikit tetapi ia adalah cara yang betul untuk memulakan liga,” kata pemain tengah Real, Marco Asensio.

“Cristiano sudah meninggalkan Real, tetapi kami masih sebuah pasukan yang kuat. Kami bekerja keras dan ia dapat dilihat dalam perlawanan hari ini dan saya berharap kami berupaya meneruskannya.”

Lopetegui sekali lagi memilih penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas di pintu gol berbanding penjaga gol baru Thibaut Courtois dan turut menamakan Dani Ceballos berbanding Luka Modric, yang mana turut diketepikan daripada kesebelasan utama untuk aksi Piala Super walaupun dimasukkan di babak kedua. – AFP