Kim Swee kecewa prestasi pemain simpanan

CIKARANG: Jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee nyata kecewa dengan persembahan yang ditampilkan ‘barisan keduanya’ berikutan kekalahan kepada Bahrain pada aksi terakhir Kumpulan E di Sukan Asia 2018, malam tadi.



Sedar keputusan menentang Bahrain tidak mengubah kedudukan sebagai juara kumpulan, Kim Swee bertindak mengekalkan tiga pemain – Baddrol Bakhtiar, Adam Nor Azlin dan Muhammad Syahmi Safari- dalam kesebelasan utama yang menumbangkan Korea Selatan sebelum ini.

Begitupun, tindakannya merehatkan sebahagian besar pemain utamanya memakan diri apabila lapan pemain yang diberi kepercayaan gagal membuktikan kemampuan mereka sekali gus menyaksikan skuad negara tewas 2-3.

“Pemain tidak beraksi seperti yang kami mahukan. Pertukaran lapan pemain sukar bagi kami tandingi Bahrain,” kata Kim Swee.

“Ia keputusan yang tidak bagus, saya tidak gembira dengan satu atau dua pemain yang diberi peluang. Mereka tidak memberikan komitmen yang diharapkan.”

Begitupun, apa yang dibuat Kim Swee dilihat wajar berikutan kerja keras dilakukan skuad utamanya yang sebelum ini cemerlang menewaskan Kyrgyzstan 3-1 serta Korea Selatan 2-1.

Selain itu, barisan kejurulatihan Jepun – lawan yang bakal ditemui pada pusingan berikutnya – turut dilihat bertandang ke Stadium Wibawa Mukti, Cikarang bagi melihat perlawanan berkenaan.




Kim Swee juga sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kecederaan dan kecergasan Akhyar tetapi ia perlu dinilai dulu menjelang aksi menentang Jepun.

Pada perlawanan berkenaan, Malaysia terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Syahmi Safari pada minit ke-20 tetapi Bahrain menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi Mohamed Hardan minit ke-33 sebelum mendahului permainan empat minit kemudian berpunca jaringan Hamad Alshamsan.

Sekali pun Malaysia cuba mencipta kebangkitan, Hardan menjadikan kedudukan 3-1 buat Bahrain sebelum Safawi Rasid merapatkan jurang pada minit ke-90 tetapi ia sudah terlambat.

Malaysia dijadual menentang Jepun pada pusingan kedua Jumaat ini. – BH