Haziq mahu lebih lantang bertemu Jepun, Ifwat intai peluang

Related image

JAKARTA: Penjaga gol negara, Haziq Nadzli berjanji untuk lebih kerap bersuara bagi memastikan barisan pertahanan sentiasa berwaspada menjelang aksi penting menentang Jepun, Jumaat ini.

Menurutnya, ia aspek yang dilihatnya perlu diperbaiki terutamanya ketika menentang pasukan seperti Jepun.

“Saya perlu lebih banyak bersuara untuk membimbing barisan pertahanan,” kata Haziq yang direhatkan ketika Malaysia tewas 3-2 kepada Bahrain tempoh hari.

Dia antara tonggak utama negara dalam dua perlawanan awal, menewaskan Korea Selatan dan Kyrgyzstan.

“Sudah lama saya tidak bertemu Jepun. Kali terakhir ketika mewakili B-16 Malaysia dalam aksi persahabatan.



“Apa yang penting kami perlu kurangkan kesilapan dan yakin kepada diri sendiri. Saya berharap kami mampu meraih pencapaian lebih baik berbanding Kejohanan AFC B-23 (suku akhir) dan terus mencipta sejarah,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Ditanya mengenai saingan merebut kesebelasan utama dengan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, dia menjelaskan akan menjalankan tanggjungjawab sekiranya diberi peluang pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Sementara itu Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim mengintai peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menjelang aksi penting menentang Jepun, Jumaat ini.

Dia diturunkan jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee dalam aksi menentang Bahrain, malam tadi selepas Haziq Nadzli diturunkan dalam dua aksi awal Malaysia ketika menewaskan Korea Selatan dan Krygyzstan.




Peluang diberikan Kim Swee dimanfaatkan sepenuhnya penjaga gol Kedah itu dengan mempamerkan aksi terbaik walaupun terpaksa akur dibolosi tiga gol ketika tewas 2-3.

Dia menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan termasuk ketika situasi satu lawan satu dan menghalang Bahrain daripada melakar kemenangan lebih besar.

“Semua pemain perlu menghormati perancangan jurulatih. Siapa saja yang diturunkan perlu fokus kerana lawan pasukan yang bagus.

“Siapa yang dipilih perlu mempamerkan semangat juang yang tinggi dan tumpuan penuh sehingga wisel penamat,” katanya.

Namun, dia menjanjikan aksi terbaik sekiranya terus diberikan peluang menjaga gawang negara menentang Jepun nanti.

“Saya berharap kami dapat mengurangkan kesilapan yang berlaku dalam aksi menentang Bahrain. Saya sendiri masih belum berpuas hati dan mahu membaikinya,” katanya.