‘Lakonan’ Salah lebih baik dari VAR

LONDON: Kapten Crystal Palace, Luka Milivojevic berkata dia lebih gemar bermain tanpa Video Bantuan Pengadil (VAR) sekali pun pasukannya berasa terpedaya disebabkan oleh penalti kontroversi ketika tewas 0-2 kepada Liverpool, semalam.

Pemain tengah Serbia berusia 27 tahun itu berkata dia sudah meminta bintang Mesir, Mohamed Salah supaya memberitahu pengadil, Michael Oliver untuk menarik kembali penalti yang dianugerahkan kepada The Reds pada perlawanan itu.

Salah yang dituduh sengaja merebahkan badan oleh pengurus Palace, Roy Hodgson, begitupun menolak untuk melakukannya.



Tetapi Milivojevic percaya Liga Perdana Inggeris lebih baik tanpa VAR sekali pun ia menjadi satu-satunya liga elit tidak menggunakan teknologi berkenaan.

“Saya tidak mahu VAR dalam liga ini,” katanya menerusi laman web Crystal Palace.

“Di negara ini kami mempunyai pengadil terbaik di dunia. Saya tidak fikir yang VAR akan membantu.

“Mereka adalah manusia biasa dan kadang kala melakukan kesilapan. Mengikut pendapatnya, dia (Oliver) melakukan perkara yang betul.

“Sebagai pemain, kami perlu menghormati pengadil. Kami bukan pasukan yang akan menangis disebabkan oleh penalti, kami hanya meneruskannya.”




Sekali pun tidak menggemari sistem VAR, Milivojevic yang menjadi pemain ditugaskan mengambil penalti tidak merasa ragu betapa Oliver berjaya diperdaya oleh Salah yang terjatuh selepas menerima terjahan Mamadou Sakho.

Penalti berkenaan disempurnakan oleh James Milner.

“Saya memberitahunya ‘kata kepada pengadil ia bukan penalti’,” kata Milivojevic yang beraksi di Piala Dunia Russia. “Tetapi dia mengatakan ia adalah penalti. Dari sudut pandang dia ia adalah penalti.

“Ia bukannya penalti. Ketika perlawanan ia adalah pendapat saya dan selepas perlawanan dan apabila saya melihat imejnya kembali, Mama cuba menyentuh bola, dia tidak menyentuh bola dan pada pandangan saya dia tidak menyentuh lelaki itu.” – AFP