Mampu cipta kejutan sekali lagi – Kim Swee

Ong KIM SWEE (empat dari kanan) bersama pemainnya selepas mereka

JAKARTA 21 Ogos – Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara bersedia untuk mencipta satu lagi kejutan dalam kempen Sukan Asia sekali gus mencapai sasaran suku akhir yang diletakkan.

Malaysia akan bertemu pasukan pilihan Jepun dalam pusingan kedua Jumaat ini dengan reputasi tinggi selepas menundukkan juara bertahan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan kedua peringkat awal. Walau pun kemudiannya tewas 2-3 kepada Bahrain dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, namun anak-anak didik Datuk Ong Kim Swee tetap muncul juara.



Jepun, yang menghantar pasukan bawah 21 untuk Sukan Asia kali ini, merupakan naib juara Kumpulan D setelah tumpas 0-1 kepada naib juara Kejohanan B-23 AFF Vietnam, dalam perlawanan merebut kedudukan teratas.

Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun Jepun adalah pasukan pilihan untuk memenangi pertemuan dengan Malaysia namun pasukannya mampu melakukan satu lagi kejutan dengan syarat pemain tidak melakukan kesilapan seperti sewaktu menentang Bahrain semalam.

“Jepun merupakan pasukan muda yang boleh dikatakan hampir sempurna kerana mereka telah dibentuk bersama sejak beberapa tahun lepas dan turut terbukti di pentas antarabangsa.

“Sekiranya barisan pemain berhasrat untuk mencipta kejutan dengan menewaskan Jepun, mereka tidak boleh mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan ketika menentang Bahrain.

“Saya harap pemain melipatgandakan usaha sepanjang tiga sesi latihan yang dijalankan sebelum perlawanan berlangsung pada Jumaat ini,” kata Kim Swee.




Skuad B-23 negara telah diletakkan sasaran mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam temasya di Jakarta-Palembang selepas mencipta kejutan berada dalam kelompok lapan terbaik dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberi amaran kepada barisan pemain simpanannya agar tidak beraksi sambil lewa selepas melakukan lapan pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menentang Bahrain.

“Kekalahan adalah satu keputusan yang tidak baik tetapi saya lebih kecewa apabila pemain yang diberi peluang untuk beraksi gagal mempamerkan permainan yang diharapkan.

“Saya mengambil keputusan untuk melakukan pertukaran tersebut kerana ada beberapa pemain kami yang cedera tetapi saya terkilan melihat aksi beberapa pemain yang tidak menunjukkan sikap dan komitmen seperti ketika menang ke atas Korea Selatan dan Kyrgyzstan minggu lalu,” katanya. – UTUSAN