Saya tidak mahu komen tentang khabar angin – Mehmet

Image result for Mehmet Durakovic

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Walaupun sudah beberapa kali menafikan dakwaan dia akan kembali ke Selangor, Mehmet Durakovic tetap dikaitkan de­ngan juara Piala Malaysia 33 kali itu, hingga mendorong pe­ngendali dari Australia tersebut mengambil sikap ‘enggan me­layan’ apa juga spekulasi.

Tegas Mehmet, fo­kusnya kini ha­nya bersama Perak, yang berkedudukan cerah untuk ke suku akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Kuala Lumpur 2-0 semalam, ber­banding Se­langor yang hampir ter­sing­kir akibat tiga kekalahan berturut-turut.



“Saya tidak mahu komen tentang khabar angin.

“Saya tidak pasti dari mana khabar ­angin itu boleh muncul tetapi saya gembira bersama Perak.

“Fokus saya sekarang adalah membawa Perak melangkah jauh dalam Piala Malaysia.

“Sebagai jurulatih profesi­onal, keutamaan saya adalah memastikan kelab bimbingan saya meraih kecemerlangan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Mehmet adalah jurulatih terakhir yang membantu Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2015.




Namun, sejurus selepas membawa Red Giants merangkul kejuaraan ke-33 dia disingkirkan bagi memberi laluan kepada Zainal Abidin Hassan.

Ketika mengulas mengenai pertemuan dengan Kuala Lumpur, Mehmet, yang juga bekas pemain Selangor dan Australia gembira dengan penguasaan yang ditunjukkan pasukannya sejak awal permainan, malah menyifatkan persembahan me­reka ‘hampir sempurna’.

“Ia persembahan hampir sempurna dan kami patut menang dengan jaringan lebih besar,” katanya.

Perak membuka jaringan menerusi pertahanan dari Lebanon, Jad Noureddine pada minit ke-39 sebelum menggandakan kedudukan menerusi Gilmar Filho di minit ke-62.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata, tiga mata di belakang Terengganu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Perak akan beraksi di Stadium Negeri Pulau Pinang dalam perlawanan terakhir pe­ringkat kumpulan menentang Kuala Lumpur pada 25 Ogos ini kerana Stadium Perak ditutup untuk persiapan Sukan Malaysia (Sukma).