Jaringan penalti jepun ranapkan impian Malaysia

BEKASI: Harapan Malaysia untuk mengejutkan gergasi Asia, Jepun, dalam pusingan 16 Sukan Asia 2018 lebur apabila tewas 1-0 hasil jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Ayase Ueda pada minit ke 89 sebentar tadi.

Pertahanan negara, Dominic Tan menjatuhkan Ayase Ueda dalam kotak penalti pada minit ke-88 dan pemain berkenaan menyempurnakannya dengan menewaskan Haziq Nadzli di Stadium Patriot Chandrabhaga.



Ia menamatkan perjalanan skuad negara yang cemerlang menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan dalam aksi kumpulan.

Terdahulu pada perlawanan berkenaan, Jepun dilihat lebih banyak menguasai permainan apabila mencipta sejumlah peluang.

Malaysia masih mempertaruhkan gandingan trio yang memusnahkan Krygyzstan dalam aksi pertama apabila menurunkan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi.

Selain ancaman Yuto Iwasaki ketika perlawanan baru berusia lapan minit, Jepun dilihat gagal menembusi benteng skuad negara yang diterajui oleh Adam Nor Azlin.

Malaysia v Japan - Asian Games 2018 QF 2

 




Sepanjang perlawanan Samurai Biru menghadirkan gerun kepada gawang negara seperti percubaan penyerang Jepun, Reo Hatate pada minit ke-34.

Bagaimanapun mereka dihampakan dengan disiplin tinggi pemain negara serta ketangkasan Haziq di gawang.

Malaysia turut cuba mengimbangi penguasaan Jepun dengan melakukan beberapa gerakan yang mencemaskan lawan kendalian Hajime Moriyasu.

Peluang terbaik Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee membuka jaringan adalah menerusi dua cubaan Safawi Rasid yang mengegar tiang dan palang Jepun ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Malah Syafiq Ahmad hampir meledak jaringan untuk negara namun tandukannya sedikit tinggi pada minit ke-72. – BH