Dominic akui kesilapan

BEKASI: Pertahanan negara, Dominic Tan mengakui kesilapannya menjatuhkan penyerang Jepun, Ayase Ueda yang mencetus sepakan penalti di penghujung perlawanan malam tadi.

“Saya perlu akui membuat kesilapan dan kita tewas. Sudah pasti saya akan belajar daripada kesilapan ini,” kata Dominic.



“Ia bukan tugas yang mudah apabila anda berdepan dua pasukan terbaik Asia (Korea Selatan dan Jepun) dalam tempoh singkat.”

Ketika aksi dijangka berlanjutan sehingga masa tambahan di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jepun mendapat penalti di penghujung perlawanan apabila Dominic menjatuhkan Ueda dalam kotak penalti.




Ueda sendiri menyempurnakannya untuk memastikan kemenangan 1-0 buat Samurai Biru.

Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu jelas bijak membuat pecaturan apabila menurunkan Ueda pada minit ke-76 bagi memberikan lebih kekuatan di jentera serangan selepas penyerang utamanya, Daizen Maeda banyak mensia-siakan peluang dari awal perlawanan.

“Bola sepak memang kadang-kala seperti ini. Kita perlu terus melangkah ke depan. Pencapaian mara sehingga ke pusingan kedua adalah sesuatu yang tetap boleh dibanggakan,” katanya.

Terdahulu Malaysia muncul juara Kumpulan E dengan melakar dua kemenangan termasuk menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1.