Pemain B-23 dalam senarai Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan tujuh hingga lapan pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun yang beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang berada dalam senarai yang akan dipanggil bagi menyertai latihan pusat Harimau Malaya bermula 3 September ini.

Latihan pusat berkenaan diadakan bagi persediaan untuk dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September ini.



Cheng Hoe bagaimanapun enggan mendedahkan senarai pemain skuad B-23 yang akan dipanggil itu bagi menyertai senarai 24 pemain termasuk pemain senior.

“Kita belum umum lagi (senarai pemain), mungkin esok saya boleh umumkan. Ketika ini belum ada pengumuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jadi tidak manis kalau saya umumkan sekarang.

“Ya memang sudah ada gambaran pemain yang akan saya panggil dan lebih kurang tujuh atau lapan pemain Skuad B-23 berada dalam senarai itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Persembahan barisan pemain skuad B-23 di Sukan Asia mendapat pujian ramai pihak selepas berjaya mara ke pusingan kedua sebelum tewas tipis 0-1 kepada Jepun.

Malah, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan dalam laporan Sukan NSTP, semalam turut menganggap beberapa pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sudah boleh menjadi tunjang utama dalam skuad senior.




Mengulas lanjut, Cheng Hoe percaya gandingan pemain muda dan senior yang bakal dibentuk nanti mampu memberi impak yang lebih positif dalam skuad kebangsaan dan bola sepak Malaysia.

“Skuad B-23 mara hingga ke pusingan kedua dan di peringkat kumpulan juga mereka berjaya tewaskan Korea Selatan, jadi ia sedikit sebanyak memberi motivasi atau petanda positif untuk pasukan kebangsaan nanti.

“Barisan kejurulatihan akan ke gelanggang perlawanan Piala Malaysia untuk memantau dan menilai prestasi semasa beberapa pemain yang mungkin boleh dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” katanya.

Semalam, penolong jurulatih Harimau Malaya, Aminuddin Hussin dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz turut kelihatan pada aksi Piala Malaysia antara MIFA dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi menilai beberapa pemain.