Nik Akif tinggalkan Kelantan?

Image result for Nik Akif Syahiran Nik Mat

PASUKAN Kelantan harus bersedia untuk menerima hakikat bakal kehilangan Nik Akif Syahiran Nik Mat, yang berkemungkinan besar meninggalkan pasukan itu musim depan.

Bintang muda berusia 19 tahun itu dilaporkan sudah dirisik beberapa kelab selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang mewakili Kelantan musim ini di samping turut menonjol bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang menjuarai Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, bulan lalu.

Nik Akif juga turut menyerlah ketika membantu skuad B-23 layak ke pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang, baru-baru ini sekali gus mendapat kepercayaan jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk diserapkan ke dalam skuad pelatih kebangsaan yang diumumkan kelmarin.



Menurut Nik Akif, empat kelab tempatan sudah menunjukkan minat ke atas dirinya, malah, sebuah kelab dari Thailand turut merisik sekembalinya dia dari tugasan bersama skuad B-19 tahun, bulan lalu namun belum ada tawaran secara rasmi.

“Jika tawaran sesuai, terutama daripada kelab Thailand, saya sedia meninggalkan Kelantan kerana memang menjadi impian saya bermain di luar negara.

“Begitu pun, segala-galanya bergantung pada majikan saya, KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) sama ada sedia melepaskan saya atau tidak kerana saya masih mempunyai kontrak bersama mereka selama dua tahun lagi,” kata Nik Akif.




Namun, pemain yang berasal dari Kuala Krai itu berkata, buat masa ini dia tidak serius memikirkan soal perpindahan itu kerana mahu memberi tumpuan membantu Kelantan pada baki aksi Piala Malaysia.

The Red Warriors yang berada dalam Kumpulan C bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), MIFA dan Kedah masih memiliki peluang untuk layak ke suku akhir walaupun kini menduduki tangga tercorot dengan empat mata.

“Peluang masih ada dengan syarat kami kalahkan MIFA, esok dan Kedah pada perlawanan terakhir sambil mengharapkan pasukan lain mencapai keputusan negatif. Saya harap kami dapat memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk kedua-dua perlawanan itu.

“Pada masa sama saya mahu membalas kepercayaan jurulatih, Tan Cheng Hoe yang menyenaraikan saya dalam skuad kebangsaan. Saya akan memberikan prestasi terbaik dalam latihan dan cuba mendapatkan tempat dalam senarai terakhir,” kata Nik Akif yang akan melaporkan diri bersama pelatih lain pada Isnin depan.