Real beri Mariano jersi nombor 7

MADRID: Real Madrid memberikan Mariano Diaz menyarung jersi nombor tujuh kelab itu yang sebelum ini digunakan bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo.

Ia susulan perpindahan Ronaldo ke Juventus dengan yuran sebanyak 100 juta euro (RM477.6 juta) pada musim panas dan kelab itu tidak membuang masa bagi memberikan nombor itu kepada Mariano yang kembali ke Real minggu ini daripada kelab Perancis, Lyon.



“Hari ini adalah hari yang cukup istimewa apabila saya kembali ke tempat asal. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi peluang untuk kembali dan menyarung jersi dengan nombor ini.

“Terima kasih kepada keluarga, ejen dan semua yang menyokong saya. Saya akan memberi sepenuh jiwa dan raga saya bagi membantu pasukan ini. Terima kasih dan Hala Madrid,” kata Mariano ketika sesi memperkenalkannya sebagai pemain baharu kelab itu.

Real menggunakan pilihan bagi melakukan pertukaran dan membawa masuk penyerang berusia 25 tahun itu yang menjaringkan 21 gol dalam 48 perlawanan kembali ke Santiago Bernabeu.




Kehadirannya menyaksikan tiada tempat untuk penyerang, Borja Mayoral yang menyertai Levante secara pinjaman sebelum pintu perpindahan ditutup.

Musim lalu, Mayoral, 21, menjaringkan tujuh gol dalam 24 penampilan bersama Real. Dia juga berada dalam kesebelasan utama dalam aksi Piala Super UEFA berdepan Atletico Madrid, awal bulan ini.

Sementara itu, Real turut mengumumkan penamatkan kontrak tonggak pertahanan, Fabio Coentrao yang menyertai kelab Portugal, Rio Ave secara percuma.

Coentrao membuat 106 penampilan bersama Real sejak menyertai kelab itu daripada Benfica pada 2011 tetapi dia menghabiskan dua musim terakhir secara pinjaman bersama Manaco dan Sporting Lisbon. – Agensi