Modric tetap terbaik dari Ronaldo – UEFA

Luka Modric Beats Cristiano Ronaldo And Mohamed Salah To Win UEFA’s Men’s Player Of The Year Award

Jarang sekali keadaan ini berlaku apabila seorang pemenang anugerah antarabangsa terpaksa dipertahankan selepas pengumumannya.

Namun, itulah yang terjadi, bukanlah sangat kerana Luka Modric ditabalkan Pemain Terbaik Tahunan 2017-18 Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam majlis anugerah di Monaco, Khamis lalu.



Sebaliknya, ia lebih kepada angkara Cristiano Ronaldo – pemenang tiga kali anugerah ini pada 2013-14, 2015-16 dan 2016-17 – dipintas untuk sekadar menduduki tangga kedua kali ini.

Menghangatkan lagi suhu daripada bahang pemilihan itu, Ronaldo – bekas tonggak Real Madrid yang kini bersama Juventus – memulaukan majlis anugerah berkenaan yang disusuli undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim 2018-19.

Menyusuli beberapa pertikaian selepas majlis anugerah itu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, terpanggil untuk tampil membuat penegasan bahawa Modric adalah yang terbaik berdasarkan undian secara demokratik.

“Bagi saya, adalah sangat penting untuk mengetahui satu perkara.

“Seramai 55 wartawan yang mewakili 55 persatuan kebangsaan dan 80 jurulatih daripada Liga Europa dan Liga Juara-Juara musim lalu, terbabit dalam undian anugerah ini.

“Ia adalah menerusi satu proses undian… undian yang mereka sendiri putuskan,” tegas Ceferin seperti dipetik oleh ESPN.

Undian akhir yang dikeluarkan menerusi laman sesawang rasmi UEFA selepas majlis anugerah itu menunjukkan Modric mendapat 313 mata – 90 mata mengatasi Ronaldo yang menghimpun 223 mata di tempat kedua.

Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah, menyusul di tempat ketiga dengan 134 mata bersandarkan kedudukannya selaku pemenang anugerah kasut emas penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Ejen Ronaldo, Jorge Mendes, adalah antara yang terawal mengkritik pemilihan berkenaan – atau lebih tepat lagi kekalahan Ronaldo — dengan melabelnya sebagai satu “skandal”.

Turut tidak ketinggalan ialah kakak Ronaldo sendiri, Katia Aveiro, yang mempersendakan pemilihan Modric.




Dalam satu hantarannya menerusi Instagram, Katia memuat naik perbandingan rekod jaringan Ronaldo dan Modric dalam Liga Juara-Juara musim lalu dengan keterangan: “Ini perangkaannya. Buatlah kesimpulan sendiri!”

Namun, tidak kurang juga yang memperakui Modric lebih berhak berbanding Ronaldo kali ini.

“Walaupun pemain berusia 32 tahun ini bukan seorang penjaring gol prolifik, dinamismenya dan kualitinya dalam penguasaan, membezakannya dengan yang lain-lain,” kata laporan pemerhati teknikal UEFA sebagai justifikasi kepada pemilihan kapten Croatia itu.

Ia dengan sendirinya menyangkal persepsi anugerah berkenaan adalah untuk penjaring terbanyak – sebagaimana rekod masa lalu menunjukkan antara pemenangnya termasuk Andres Iniesta (2011-12) dan Franck Ribery (2012-13).

Pengurus Real Madrid, Julen Lopetegui, mempertahankan pemain tengahnya itu berhak selepas mengemudi pasukan kebangsaan negaranya muncul naib juara Piala Dunia Russia di samping menjadi tonggak kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut.

Kapten Real, Sergio Ramos, turut menyindir Ronaldo kerana tidak hadir di majlis anugerah itu sambil menyifatkannya sebagai mencerminkan keperibadian bintang Portugal itu.

“Kami hanya dapat tahu Ronaldo tidak hadir sebelum majlis bermula tapi itulah Ronaldo – dia lakukan apa yang dia mahu,” katanya kepada Goal.

KEDUDUKAN AKHIR UNDIAN ANUGERAH PEMAIN TERBAIK UEFA 2017-18

1 Luka Modrić (Real Madrid & Croatia) – 313 mata
2 Cristiano Ronaldo (Juventus/Real Madrid & Portugal) – 223 mata
3 Mohamed Salah (Liverpool & Mesir) – 134 mata
4 Antoine Griezmann (Atlético & Perancis) – 72 mata
5 Lionel Messi (Barcelona & Argentina) – 55 mata
6 Kylian Mbappé (Paris & Perancis) – 43 mata
7 Kevin De Bruyne (Manchester City & Belgium) – 28 mata
8 Raphaël Varane (Real Madrid & Perancis) – 23 mata
9 Eden Hazard (Chelsea & Belgium) – 15 mata
10 Sergio Ramos (Real Madrid & Sepanyol) – 12 mata