Watford kejutkan Spurs dengan kebangkitan semula

PEMAIN tengah Watford, Etienne Capoue meraikan kemenangan 2-0

LONDON 3 Sept. – Watford terus mengekalkan permulaan sempurna setelah dua sepakan dari bola mati menterjemahkan kebangkitan semula mereka untuk menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 di Vicarage Road hari ini, sekali gus menokhtahkan rekod kemenangan berterusan pasukan pelawat itu.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu, Spurs menerima hadiah gol sendiri daripada pemain tengah Watford, Abdoulaye Doucoure pada minit ke-53 selepas bola tertampan ke dadanya sebelum menerjah ke gawang.



Watford bagaimanapun tenang dan menyamakan kedudukan pada minit ke-69 selepas Troy Deeney menanduk masuk sepakan bebas Jose Holebas.

Craig Cathcart kemudian merealisasikan kebangkitan sempurna itu setelah turut menanduk masuk sepakan sudut Holebas 14 minit berselang.

Penyerang kebangsaan England, Harry Kane hampir mengikat Watford apabila menanduk hantaran jauh Kieran Trippier, namun ia menemui kegagalan sekali gus membolehkan tuan rumah melakar kemenangan pertama ke atas Spurs sejak 1987.




Ini merupakan sejarah kedua Watford untuk memenangi empat perlawanan berturut-turut dalam saingan liga, yang mana sebelum ini pernah berlaku pada 1988 di aksi separuh musim kedua.

“Saya fikir kami telah bermain dengan sangat baik berbanding perlawanan sebelum ini, namun menentang Tottenham anda perlu melakukan kelainan.

“Anda perlu bekerja keras untuk menuntut kemenangan. Kami sangat yakin sehingga tamat perlawanan termasuk menerima sokongan padu daripada penyokong di sini,” kata jurulatih Watford Javi Gracia.- REUTERS