Tugasan terakhir Cahill buat Socceroos

SYDNEY: Penjaring terbanyak sepanjang zaman Australia, Tim Cahill akan membuat satu lagi penampilan untuk negaranya selepas mengumumkan persaraan daripada saingan antarabangsa sebaik tamat kempen Piala Dunia di Russia.



Pemain veteran itu yang menjaringkan 50 gol dalam 107 penampilan akan menyarung jersi Socceroos buat kali terakhir apabila mereka bertemu Lubnan di Sydney 20 November depan.

“Sumbangan Tim untuk bola sepak Australia sejak 14 tahun lalu cukup besar,” kata ketua Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA), David Gallop.

“Apabila Tim membuat keputusan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa, kami dengan segera memulakan perbincangan secara dalaman bersama dia dan pengurusan pasukannya mengenai bagaimana FFA boleh mengadakan majlis perpisahan di laman sendiri.”




Pemain berusia 38 tahun itu kali terakhir bersama Australia ketika dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada aksi terakhir kumpulan Piala Dunia menentang Peru.

Katanya, dia bangga diberi peluang untuk bermain satu lagi perlawanan di laman sendiri.

“Ia akan menjadi sesuatu yang cukup istimewa dapat mewakili negara buat kali terakhir dan saya sudah tidak sabar untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong sepanjang kerjaya saya,” katanya. – AFP