Pogba sentiasa dialu-alukan di Barca

BARCELONA: Penyerang Luis Suarez percaya Paul Pogba sepatutnya mencabar lebih banyak trofi kerana dia berada di Manchester United dan sentiasa dialu-alukan di Barcelona.

Pogba mengharungi tempoh sukar sepanjang dua tahun sejak kepulangan semulanya ke Old Trafford yang ketika itu memecah rekod perpindahan dunia tatkala hubungannya dengan pengurus, Jose Mourinho sentiasa tegang.



Pemain berusia 25 tahun itu memperoleh kembali prestasi terbaiknya ketika bersama Perancis di Piala Dunia dan menjadi antara inspirasi Les Bleus menjulang gelaran terulung itu di Russia dengan Uruguay dan Suarez sebagai antara mangsanya.

Begitupun, sejak Alex Ferguson bersara pada 2013, United gagal untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara ketika Barca memenangi tiga gelaran La Liga Sepanyol dan satu Liga Juara-Juara dalam tempoh berkenaan.

“Pogba adalah pemain yang elit yang sudah menang segala-galanya dan kami sentiasa mahukan yang terbaik,” kata Suarez.




“Dia pemain yang mempunyai banyak kualiti dan salah seorang pemain penting di United, dan saya fikir dia sepatutnya bersaing untuk lebih daripada apa yang diperolehnya ketika ini.

“Tetapi itulah yang berlaku, dia bukannya milik Barcelona tetapi dia sentiasa dialu-alukan.”

Satu mahkota Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun begitupun menjadi sesuatu yang mengecewakan buat Barca terutama pencabar utama, Real Madrid mendominasi kancah berkenaan dan memenanginya buat kali ketiga berturut-turut. – AFP