Tugas berat Mancini julang Itali

Image result for mancini italy

MILAN: Roberto Mancini akan membimbing aksi kompetitif pertamanya sebagai pengendali Itali dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara, esok menentang Poland di Bologna, dengan sasaran utama ialah mengembalikan hubungan erat rakyat negara itu dengan skuad kebangsaan selepas gagal layak ke Piala Dunia.

Bekas pengendali Inter Milan dan Manchester City itu dilantik pada Mei lalu, susulan kegagalan juara dunia empat kali itu melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia buat pertama kali sejak tahun 1958.

Tugas Mancini adalah membentuk skuad baharu yang lebih bertenaga untuk Kejuaraan Eropah dua tahun lagi, seterusnya Piala Dunia 2022 di Qatar.



Liga Negara-Negara – di mana Itali turut berdepan juara Eropah Portugal dalam Kumpulan 3 – akan mempengaruhi undian bagi Euro 2020.

Pengendali 53 tahun itu menegaskan kunci kepada strateginya ialah membawa muka baharu selepas persaraan beberapa tonggak veteran, termasuk penjaga gol legenda, Gianluigi Buffon yang bersara selepas kekalahan pada aksi playoff Piala Dunia di tangan Sweden November lalu.




Ketiadaan Buffon membuka ruang buat penjaga gol 19 tahun AC Milan, Gianluigi Donnarumma untuk mengawal gawang Itali.

“Kami kumpulan yang hebat, sangat muda,” kata Donnarumma. “Kami tekad untuk mengembalikan bola sepak Itali ke tempat yang sepatutnya. Ini tugas kami.”

Itali juga kini tergelincir ke ranking dunia FIFA paling rendah dalam sejarah mereka – di tangga ke-21.

Mereka tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2010 dan 2014, tetapi tampil lebih baik di Kejuaraan Eropah dengan mara ke final 2012 dan suku akhir 2016. – AFP