Maradona latih kelab Mexico

Image result for Diego Maradona

MEXICO CITY: Diego Maradona dilantik sebagai jurulatih kelab divisyen dua Mexico, Dorados, lapor media tempatan di sini, hari ini.



Kelab itu memaparkan video pendek dalam media sosial mereka dengan mesej ‘Selamat datang Diego” dan ‘Jadikannya 10’ merujuk kepada nombor jersi legenda itu ketika bermain.

Sekalipun Dorados, yang berpusat di daerah Sinaloa di barat daya Mexico tidak memberikan butiran terperinci, akhbar Mexico melaporkan Maradona dilantik bagi menggantikan Francisco Gamez.




Dorados memecat Gamez semalam selepas permulaan buruk kelab itu musim ini yang menyaksikan mereka hanya meraih tiga daripada 15 mata yang ditawarkan.

Kelab itu menghuni tangga ke-13 daripada liga yang membabitkan 15 pasukan.

Maradona, 57, dilabel antara pemain terhebat dunia susulan persembahan hebatnya ketika di puncak prestasi selepas mengetuai Argentina menjulang trofi Piala Dunia kedua dan terakhir negara itu pada 1986.

Beliau mempunyai pengalaman singkat di arena pengurusan dengan melatih beberapa kelab di Argentina dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pernah melatih negaranya pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. – Reuters