Benam England, Enrique raih permulaan terbaik

LONDON: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas England dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi sebagai permulaan paling baik dalam kariernya.

Tanpa beberapa tonggak – Andres Iniesta, David Silva dan Gerard Pique yang bersara, kesebelasan bekas jurulatih Barcelona itu menampilkan hanya lima pemain yang memulakan aksi ketika Sepanyol tewas kepada Russia di pentas 16 terakhir, Piala Dunia.



Selepas ketinggalan menerusi jaringan Marcus Rashford, Sepanyol bangkit menerusi jaringan penyamaan Saul Niguez, sebelum Rodrigo meledak gol kemenangan pelawat sebelum rehat babak pertama.

Rodrigo dan Niguez jelas tampil dengan prestasi baik dan enggan melepaskan peluang mereka ketika tonggak senior seperti Sergio Ramos dan David De Gea juga cemerlang bagi menghalang tekanan England pada penghujung aksi.

“Perkara yang paling saya suka pada malam ini adalah sikap pemain saya,” kata Enrique yang membimbing Barcelona meraih dua gelaran La Liga dan satu Liga Juara-Juara, sepanjang tiga tahun bersama kelab gergasi Sepanyol itu.




“Kami agak bergelut pada penghujung perlawanan tetapi menentang lawan yang bagus, ia boleh berlaku. Kini kami boleh meneruskannya dan meningkat. Kemenangan seperti ini adalah permulaan yang terbaik. Kami layak untuk menang.”

Enrique turut memuji penjaga golnya, De Gea yang sebelum ini dikritik hebat susulan prestasi hambarnya di Piala Dunia.

“Saya juga gembira dengan prestasi De Gea,” kata bekas pemain tengah Sepanyol itu.

“Kami memiliki seorang penjaga gol terbaik di dunia, dia membuktikannya selama bertahun-tahun di Liga Perdana Ingeris. Kita bercakap mengenai pemain terbaik.” – Reuters