Yusri terharu anak buah balas kepercayaan

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah terharu dengan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Kedah pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.



Dengan kemenangan itu skuad Kijang Merah menempah tiket mara ke suku akhir bersama juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Kumpulan C.

Yusri berkata, pasukannya hanya berbekalkan semangat dan usaha keras pemain untuk menunaikan hasrat layak ke peringkat kalah mati.

“Alhamdulilah dan syukur kerana pasukan masih lagi diizinkan untuk beraksi pada suku akhir dan saya amat terharu dengan komitmen serta kesungguhan pemain muda walaupun mereka masih mentah tapi kesungguhan setiap pemain di saat akhir membolehkan gol kedua terhasil.




“Walaupun peminat bola sepak seluruh negara khususnya Kelantan sebelum ini tidak meletakkan harapan tinggi kepada pasukan ini namun kami tetap buktikan dengan usaha sebaik mungkin.

“Pujian juga saya mahu berikan kepada peminat yang sentiasa berada bersama pasukan dan saya menyeru mereka bersatu untuk terus memberi sokongan,” katanya pada sidang media selepas perlawanam malam tadi.

Kelantan memusnahkan impian skuad Helang Merah biarpun pasukan lawan hanya memerlukan seri untuk mara ke suku akhir.