Benzema galas tugas kapten ketiga Madrid

MADRID: Real Madrid sedang memburu gelaran keempat berturut-turut Liga Juara-Juara musim ini dan menjelang hari pembukaan menentang AS Roma, Karim Benzema sedar kelab itu juga memerlukan tuah seperti tahun lalu bagi menghadapi saingan sengit pertandingan elit Eropah itu.

“Kejohanan ini berada di tahap berbeza. Setiap perlawanan penting, tiada yang mudah dan ia satu perkara yang saya sukai mengenainya.



“Real Madrid pasukan terbaik di dunia. Setiap tahun anda perlu mencipta kejayaan. Saya berharap kami bertuah seperti musim lalu dalam Liga Juara-Juara kerana ia sangat penting bagi kami,” kata Benzema.

Selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo yang menyertai Juventus pada Julai lalu, Madrid akan mengharungi kempen Liga Juara-Juara tanpa bintang Portugis itu namun tanpa pemegang rekod jaringan terbanyak kelab itu, Benzema masih menganggap Madrid akan menjadi pilihan utama bagi menjulang trofi.

“Kami tahu banyak kelab kuat tapi sekiranya saya perlu berkata siapa yang difikirkan akan menjadi pilihan, sudah pasti ia Real Madrid, pada masa ini sasaran adalah untuk cuba memenangi sebanyak mana perlawanan dan bermain dengan baik, kami harus memberikan segala-galanya bagi mencapai kemenangan,” katanya.

Ujian pertama Madrid dalam Liga Juara-Juara adalah bertemu Roma, pasukan yang mara ke separuh akhir tahun lalu dan hanya tersingkir di tangan Liverpool dengan agregat 6-7.

Roma tidak meraih permulaan baik dalam musim Serie A mereka dan ketika ini berada di tangga kesembilan dengan hanya melakar satu kemenangan daripada empat perlawanan.

Namun Benzema dan rakan sepasukan sedar mereka tidak harus memberikan ruang kepada lawan.




“Seperti biasa, perlawanan pertama di laman sendiri sangat penting. Kami perlu menguasai bola dan mengawal rentak permainan. Roma pasukan yang bagus dengan disertai pemain hebat,” kata Benzema.

“Setiap perlawanan mempunyai motivasi tersendiri dan saya sentiasa memikirkan mengenai menjaringkan gol, memberi bantuan gol dan membantu pasukan untuk mencapai kemenangan. Tahun ini, saya menjadi kapten ketiga dan saya perlu membuktikan banyak perkara.”

Dengan ketiadaan Ronaldo dan Zinedine Zidane, Benzema menikmati kehidupan baharu di bawah kendalian Julen Lopetegui. Jurulatih itu menyenaraikannya dalam setiap lima perlawanan kompetitif Madrid setakat ini dan pemain Perancis itu menunjukkan tanda terima kasih dengan meledak lima gol dengan purata satu gol setiap perlawanan.

Difahamkan dia kini lebih gembira berada di bawah kendalian Lopetegui dan berkata: “Ia bagus kerana beliau jurulatih yang menggemari bola sepak, sabar dan kami bermain baik dengan tidak begitu tertekan selepas kehilangan bola. Ia sesuatu yang bagus buat kami,” katanya.

“Saya tidak pernah melupakan hari pertama saya di sini kerana ia kelab impian pertama saya. Bakat sangat penting tapi apa yang paling utama adalah usaha gigih.

“Kemudian anda boleh melakukan banyak perkara dengan bakat yang ada tapi anda harus berusaha gigih untuk mencapai tahap tertinggi.” – Agensi