Perak jumpa Kedah di final Sukma

SERI MANJUNG: Perak berpeluang mempertahankan ibu segala pingat buat kali keempat berturut-turut apabila layak ke final acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 sebentar tadi.



Lawannya di final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak, Rabu ini ialah Kedah yang mengecewakan Terengganu 2-1 dalam masa tambahan selepas kedua-dua padukan terikat 1-1 di akhir 90 minit.

Dalam perlawanan Perak-Sabah, Muhamad Ashraaf Mat Pushni dan Muhammad Alif Rieza Naharuddin muncul wira apabila jaringan mereka membantu tuan rumah menang 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM).




Jaringan Ashraaf pada minit ke-47 menyemarak semangat juang anak buah Chan Wing Hoong yang turut mendapat sokongan padu 15,000 penonton yang memenuhi setiap ruang.

Walaupun Sabah membuka jaringan menerusi Ariusdius Jais pada minit ke-15 tetapi tuan rumah jelas turun dengan azam tinggi untuk meneruskan kecemerlangan Perak dalam tiga temasya sebelum ini.

Tidak hairan apabila lapan minit selepas Asyraaf menyamakan kedudukan, Alief Rieza yang turut menjadi pemusnah Wilayah Persekutuan di suku akhir sekali lagi melakukan sentuhan pemusnahnya pada minit ke-55 untuk membawa tuan rumah ke Stadium Perak, Rabu ini.

Bagi Kedah pula, kejayaan malam ini menebus kekecewaan tumpas 1-2 kepada Terengganu dalam perebutan Piala Presiden sebelum ini.