Juara Sukma, Perak memang pakar ‘drama bangkit’

IPOH: Jurulatih skuad bola sepak Perak, Chan Wing Hoong memberi gelaran ‘King of comeback’ (pakar kebangkitan) kepada anak buahnya selepas bangkit menundukkan Kedah 2-1 untuk mempertahankan ibu segala pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19, malam tadi.

Pada perlawanan di Stadium Perak itu, pasukan Chor bangkit daripada ketinggalan dengan menjaring dua gol selepas Kedah mendahului mereka.



Skuad Helang Merah yang tampil dengan tekad mahu menamatkan kemarau pingat emas selepas 32 tahun, mendahului melalui jaringan Mohd Fazrul Daniel Mohd Nizam hasil sepakan percuma yang cantik pada minit ke-64.

Gol itu bagaikan memberi kejutan kepada Perak yang bingkas membalas dengan jaringan penyamaan Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin tiga minit kemudian, dan gol kemenangan oleh Muhammad Asyraaf Mat Pushni empat minit selepas itu.

“Sudah berapa perlawanan mereka melakukan kebangkitan dramatik seperti ini.

“Memang mereka layak di panggil ‘king of comeback,” kata Wing Hoong merujuk pertemuan dengan Sarawak, Perlis, Wilayah Persekutuan sebelum ini yang menyaksikan kebangkitan Perak termasuk menjaring gol di minit akhir perlawanan.




Apapun, kejayaan itu tetap membanggakan Wing Hoong kerana berjaya menyamai pencapaian yang pernah diraih pengendali sebelum ini – Abu Bakar Fadzim di Sarawak dua tahun lalu dan Syamsol Mohd Saad di SUKMA Kangar pada 2014.

Malah pencapaian ini lebih istimewa kerana dilakukan di gelanggang sendiri di hadapan kira-kira 20,000 penonton.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakan jurulatih, pemain, pegawai pasukan, PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) dan khasnya penyokong yang tidak berhenti memberi sokongan bagi membantu menjadikan impian ini realiti.

“Memenangi pingat emas acara bola sepak adalah segala-galanya,” katanya.