‘Kisah dongeng’ Kelantan perlu diteruskan – Bibi

Kelantan melakar kejutan dengan layak ke suku akhir selepas menewaskan pencabar terdekat, Kedah pada

KOTA BHARU – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan menjangkakan laluan peringkat suku akhir perlawanan Piala Malaysia amat sukar dan memaksa Kelantan bekerja keras untuk memenangi setiap perlawanan.



Beliau berkata Kelantan akan bertemu Sabah pada Sabtu ini di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, dengan penampilan pasukan pelawat itu dijangka berbeza berbanding ketika beraksi pada saingan Liga Premier musim ini.

“Jika kita lihat aksi dalam Liga Malaysia, mereka (Sabah) mencatatkan kemenangan empat perlawanan sebelum layak ke suku akhir dan ia satu keputusan yang memaksa kami (Kelantan) berkerja keras untuk menewaskan pasukan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada saingan peringkat kumpulan C, Kelantan berjaya melayakan diri ke peringkat suku akhir selepas menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan terakhir kumpulan itu di Stadium Sultan Muhammad IV Ahad lepas.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani menyifatkan pada pertemuan peringkat kumpulan D pasukan Sabah menentang Pahang, perlawanan itu bukan aksi sebenar berikutan kedua-kedua pasukan sudah layak ke saingan suku akhir.




“Walaupun Sabah kalah 0-4 kepada Pahang, bagi saya itu bukan kekuatan mereka, jadi saya merasakan suku akhir kami bukan laluan mudah dan perlawanan itu memerlukan kesungguhan serta tekad yang perlu ditunjukkan pemain seperti ketika bertemu Kedah tempoh hari.

“Pemain tidak boleh leka dan dibuai dengan kejayaan layak ke suku akhir, bola sepak sesuatu kerja yang sentiasa bergerak pantas, kita harus terus berlatih,” katanya.

Beliau yakin Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah akan mengkaji dan meneliti segala aspek untuk bertemu Sabah.

“Pemain perlu mempersiapkan diri dengan memperbaiki kelemahan yang dimiliki bagi memperolehi kemenangan pada perlawanan itu,” kataya. – Bernama