VIDEO Belasah Tajikistan, Misi skuad B-16 belum selesai – Hamidin

Luqman Hakim-MalaysiaU16

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengingatkan skuad bawah 16 tahun (B-16) negara bahawa perjalanan mereka masih jauh dan perlu terus kekal fokus dalam mengharungi kempen Kejuaraan AFC 2018.



Skuad kendalian Lim Teong Kim itu memulakan saingan Kumpulan A dengan langkah kanan apabila membenam Tajikistan 6-2, pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Luqman Hakim membuka jaringan minit ke-30, 42’,46’ dan 67’ manakala dua lagi jaringan negara menerusi Najmuddin Akmal Kamal Akmal dan Alif Mutalib.

Namun skuad muda negara perlu menempuh dua lagi lawan cukup mencabar iaitu Thailand pada Ahad ini, sebelum aksi terakhir kumpulan menentang Jepun pada Rabu depan.

“Tahniah buat Skuad B-16 kerana mempamerkan keputusan yang cemerlang tetapi misi Malaysia masih belum berakhir.




“Dengan berbaki dua perlawanan lagi, saya ingin mengingatkan pemain untuk terus fokus dan kekalkan prestasi yang baik,” katanya yang turut menyaksikan perlawanan pertama itu, semalam.

Saingan kali ini cukup penting bagi anak buah Teong Kim untuk sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir bagi merebut tiket ke Piala Dunia B-17, tahun depan di Peru.

Selain itu, selaku tuan rumah, Hamidin berharap semua pegawai dan pemain 16 pasukan yang bertanding dapat mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku, sepanjang tiga minggu kejohanan berlangsung di Kuala Lumpur.

“FAM amat berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah selepas sekian lama tidak menganjurkan kejohanan antarabangsa cukup berprestij seumpama ini.

“Selaku tuan rumah, kita perlu mematuhi standard yang ditetapkan AFC. Untuk memastikan kelancaran kejuaraan ini, semua pemain dan jurulatih juga perlu mempamerkan semangat kesukanan tinggi bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.