Saya tidak suka pasukan saya – Mourinho

JOSE MOURINHO

MANCHESTER 23 Sept. – Jose Mourinho melemparkan kritikan keras terhadap sikap pemain Manchester United selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan Wolves di Old Trafford semalam.

Malah Mourinho menegaskan bahawa dia lebih berpuas hati dengan permainan mereka sebelum ini di tempat sendiri iaitu ketika kalah 3-0 kepada Tottenham berban­ding aksi mereka semalam.



“Bukan prestasi yang bagus, bukan keputusan bagus tetapi adil.

“Wolves berani menghadapi perlawanan ini, saya fikir mereka berhak (mendapat mata). Mereka bermain seperti apa yang saya suka iaitu seperti dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

“Itulah sikap yang pasukan saya patut miliki dalam setiap perlawanan. Kami tidak memilikinya. Mereka (Wolves) ada. Sikap itu yang membezakan kami,” kata pengurus United itu selepas pencapaian tiga kemenangan berturut-turut pasukannya, kesemuanya di laman lawan, terhenti dengan gaya yang begitu negatif.

United pada mula­nya kelihatan telah berjaya menyerap kejutan awal oleh skuad Nuno Espirito Santo, terutama apabila penjaga gol David De Gea melakukan gerakan menyelamat menakjubkan untuk menghalang tandukan tepat Willy Boly selepas menerima sepakan sudut Joao Moutinho.




Beberapa saat selepas itu United berada di hadapan apabila Fred menjaringkan gol pertamanya untuk Red Devils dari jarak 18 meter selepas pemain antarabangsa Perancis, Paul Pogba mengawal bola dengan baik setelah mengutip tandukan Conor Coady.

Namun, Wolves me­nyamakan kedudukan tujuh minit selepas babak kedua bermula setelah menggunakan kelalaian United.

Pogba melepaskan bola di bahagian tengah, yang digunakan oleh Wolves untuk memulakan serangannya yang mana Helder Costa menggelecek Luke Shaw dengan mudah di hujung kawasan permainan.

Hantaran lintangnya tepat kepada Raul Jimenez yang me­ngumpan pula kepada Mouti­n­ho untuk menjaringkan gol pertamanya di England menerusi sepakan kaki kiri dari hujung kawasan gol. – AFP