Blues belum setaraf Reds – Sarri
LONDON 25 Sept. – PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri mengakui, pasukannya mungkin memerlukan setahun sebelum boleh berada di tahap Liverpool menjelang dua pertembungan menentang skuad bimbingan Jurgen Klopp itu, minggu ini.
Blues diikat 0-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di West Ham semalam, sekali gus menyaksikan Reds muncul satu-satunya pasukan yang kekal dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas enam perlawanan musim ini.
Mereka bakal berdepan Liverpool dalam Piala Liga di Anfield, Khamis ini, sebelum menerima kunjungan Reds pada saingan Liga Perdana di Stamford Bridge pada Ahad.
Sarri menolak bahawa pertemuan dengan Liverpool adalah misi wajib pasukannya.
“Wajib menang dalam bola sepak tidak wujud. Kami perlu menentang lawan yang sangat bagus, pasukan yang telah berada di bawah jurulatih sama sejak tiga atau empat tahun lalu.
“Mereka selangkah ke depan berbanding kami ketika ini. Kami mula bekerja bersama kira-kira 35 hingga 40 hari lalu, dan jika ditolak 10 hari rehat antarabangsa, maka jumlahnya semakin kurang.
“Kami perlu bekerja mungkin setahun lagi untuk berada di tahap yang sama dengan Liverpool,” katanya.
Sarri juga mengakui, tugas untuk menentangan trio serangan Liverpool tidak mudah.
“Mudah? Menentang (Mohamed) Salah, (Roberto) Firmino dan (Sadio) Mane? Saya rasa ia sesuatu yang mustahil.
“Perlawanan ini amat sukar. Mungkin satu pertarungan yang hebat tetapi bagi kami, ia sangat, sangat mencabar,” ujarnya. – AGENSI