VIDEO Skuad B16 negara tumpas kepada Jepun, FAM pecat Lim Teong Kim

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Hasrat skuad Bawah 16 (B-16) negara untuk melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-16) musnah apabila tewas 0-2 kepada Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Gol perlawanan dijaringkan oleh Shoji Toyama pada minit ke-37, sebelum Hikaru Naruoka meledak gol kedua dalam masa kecederaan.



Turut melepasi peringkat kumpulan adalah Tajikistan selepas menewaskan Thailand 2-1 di Arena UM dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan A.

Sementara itu Susulan kegagalan skuad B-16 kebangsaan merebut slot ke ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan menamatkan khidmat ketua jurulatihnya, Lim Teong Kim.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata keputusan itu berkuatkuasa serta-merta atas arahan Presiden FAM, YH Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.




“Dato’ Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya.

Bagaimanapun Stuart menegaskan FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim, sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).