Barcelona, Real berkongsi duka
MADRID 27 Sept. – Dua gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid tewas pada hari yang sama buat kali pertama sejak 2005.
Barcelona dibolosi dua kali dalam tempoh 68 saat, manakala Real Madrid ketinggalan tiga gol pada babak pertama dalam aksi La Liga yang cukup mengejutkan.
Kekalahan 1-2 Barca kepada Leganes pada mulanya dianggap kejutan terbesar hari ini, namun nasib musuh tradisi mereka, Real nyata lebih buruk apabila dibenam 3-0 oleh Sevilla di Ramon Sanchez Pizjuan.
Ini kekalahan pertama buat dua calon utama juara La Liga itu, dan kerapuhan benteng mereka amat membimbangkan, terutama menjelang Liga Juara-Juara minggu depan.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami Atletico Madrid yang menang selsa 3-0 ke atas Huesca, semalam dan bakal menghitung pertemuan dengan Real, Sabtu ini.
Barcelona masih menerajui liga dengan 13 mata, berkongsi mata bersama Real tetapi dipisahkan menerusi perbezaan gol. Atletico di tangga ketiga dengan 11 mata.
“Masalah terbesar kami adalah, Sevilla jauh lebih bagus hari ini, terutama di awal permainan. Mereka memperoleh dua gol pantas (Andre Silva minit ke-17, 21),” kata jurulatih Real, Julen Lopetegui.
“Kami berada dalam situasi yang sukar dan kekalahan ini di luar jangkaan,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde pula. – AFP