Hazard ‘pemain terbaik dunia’ – Zola
LIVERPOOL 27 Sept. – Penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola menghambur pujian kepada Eden Hazard dengan menyifatkan bintang Belgium itu sebagai antara pemain terbaik dunia selepas dia meledak gol mengagumkan ketika Blues menumpaskan Liverpool 2-1 dalam pusingan ketiga Piala Liga di Anfield, hari ini.
Kedua-dua pasukan melakukan sembilan pertukaran dengan ‘sebelah mata’ lagi tertumpu kepada pertembungan merebut kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, Sabtu ini.
Perjudian yang dilakukan Maurizio Sarri apabila hanya memasukkan Hazard ketika permainan berbaki 10 minit nyata berbaloi. Tidak lama selepas Emerson Palmieri menyamakan kedudukan pada minit ke-79, larian solo yang dilakukan bintang Belgium itu menghadiahkan kemenangan buat Chelsea.
“Dia bukan sahaja pemain terbaik dalam Liga Perdana tetapi juga di Eropah dan dunia. Pada pandangan saya, kami masih belum melihat aksi terbaiknya. Dia seorang pemain yang mengagumkan,” kata Zola.
Daniel Sturridge mempamer persembahan meyakinkan menentang pasukan lamanya apabila menjaringkan gol pembukaan Liverpool pada minit ke-58.
Kekalahan ini bermakna, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang membimbing Reds sejak tahun 2015 perlu menanti sehingga Mei untuk merasai trofi pertamanya di Anfield.
“Ini adalah persediaan terbaik menjelang perlawanan Sabtu ini tetapi kami perlu mengukuhkan pertahanan. Kami patut bermain dengan lebih tenang tetapi ia sesuatu yang normal apabila anda membuat perubahan,” kata Klopp. – AFP