VIDEO TFC 1 Mara Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU – Kelab Liga Super, Terengganu FC 1 (TFC 1) menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mengalahkan juara Liga Premier, Felda United 4-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam ini.

TFC 1 terpaksa bangkit sebanyak dua kali sebelum mengatasi Felda United untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 6-4.



Untuk rekod, TFC 1 menang tipis 2-1 ke atas Felda United pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat lalu.

Pada aksi malam ini, TFC 1 dikejutkan dengan jaringan awal pemain pertahanan Felda United, Thiago Junior Aquino seawal minit ke-11 perlawanan sebelum Ahmad Syamim Yahya mengukuhkan kedudukan untuk pasukan pelawat hasil jaringan kedua pada minit ke-48.

Tersentak dengan gol berkenaan, TFC 1 kembali menyusun corak permainan dan berjaya mengikat kedudukan menjadi 2-2, hasil jaringan Lee Andrew Tuck pada minit ke-56 dan Adib Aizuddin Ab Latif pada minit ke-68.




Pemain import dari Brazil, Gilberto Fortunato kembali meletakkan Felda United di hadapan pada minit ke-78, namun TFC bangkit menambah dua lagi gol menerusi Abd Malik Mat Ariff pada minit ke-82 dan kapten pasukan, Brice Hermann Tchetche Kipre, selang tiga minit kemudian untuk mengesahkan tiket separuh akhir untuk skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

Pada saingan separuh akhir, TFC1 dijadual menentang pemenang perlawanan separuh akhir antara juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dan Pahang. – BERNAMA​​​​​​​