Gaji besar rezeki Teong Kim – Shebby

KUALA LUMPUR: Ketika pelbagai pihak mempertikai gaji RM175,000 sebulan diterima Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim, bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh sebaliknya menyifatkan ia sebagai rezeki buat jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara itu.

Serbegeth atau dikenali sebagai Shebby menjelaskan, hanya pihak yang meluluskan kontrak Teong Kim itu saja perlu memberi penjelasan mengapa jumlah gaji berkenaan dipersetujui.

“Kalau sesiapa dapat gaji lumayan, itu rezeki mereka. Benda ini bukan ada kena mengena dengan pencapaian, ia kerana tugasan (jawatan).



“Pada pendapat saya, siapa yang sanggup bayar dialah yang harus dipersoal mengenai adakah gaji itu setimpal dengan jawatan, pengalaman dan kedudukan.

“Jadi, tak boleh nak salahkan (Teong Kim) kalau orang bagi gaji macam itu dan saya tak anggap ia sebagai satu isu,” katanya.

Sebelum ini, jumlah gaji yang diterima Teong Kim hangat diperkatakan selepas ia didedahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Malah, Syed Saddiq dalam satu kenyataan semalam menjelaskan akan menilai semula gaji Teong Kim berdasarkan kewangan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika ini.

Selain itu, Shebby turut meminta semua pihak menghentikan kecaman kepada skuad B-16 susulan tidak mencapai sasaran ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan.




Beliau berkata, kecaman yang teruk daripada beberapa pihak boleh mengundang masalah psikologi buat pemain muda yang sudah pasti bakal menjadi pelapis pemain masa depan.

“Saya hairan kenapa budak (pemain) bawah 16 tahun ini dilabel gagal sedangkan Nelo Vingada bawa Malaysia satu tahun tapi tak menang satu perlawanan pun orang masih kata perlu bagi dia masa.

“Pada peringkat tertinggi mana ada bagi masa, tapi tetap ada pihak yang menyokong Vingada. Kasihan budak ini kena belasah (kecam) kiri kanan belakang depan.

“Mana ada gagal, ini satu langkah ke depan. Jadi jangan anggap sebagai kegagalan besar buat budak muda ini kerana tak capai sasaran (ke Piala Dunia B-17),” katanya.