Cheng Hoe gugur enam pemain jumpa Sri Lanka, Kyrgyzstan

Image result for sumareh

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 24 pemain untuk latihan pusat skuad kebangsaan, bermula 8 Oktober bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober dan menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan memaklumkan seramai 16 pemain dari skuad 22 pemain yang dibawa ke Taipei City dan Phnom Penh bagi dua aksi persahabatan bertemu Chinese Taipei pada 7 September dan Kemboja pada 10 Sept ember lalu telah dikekalkan Cheng Hoe bagi panggilan kali ini.



Enam pemain tidak tersenarai kali ini iaitu penjaga gol Farizal Marlias dan Nazmi Faiz Mansor (JDT), Nasir Basharudin (Perak), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Syawal Nordin (Kedah) dan R. Kogileswaran (Pahang).

Sebagai ganti, Cheng Hoe telah memanggil enam pemain baharu terdiri daripada Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies (Pahang), penjaga gol Haziq Nadzli dan Syamer Kutty Abba (JDT) serta Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan (Perak).

Menurut kenyataan itu, bagi melengkapkan senarai 24 pemain, dua pemain yang tersenarai pada panggilan September lalu tetapi tidak menyertai pasukan ke Taipei City dan Phnom Penh – Adam Nor Azlin (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Pahang) sekali lagi disenaraikan Cheng Hoe bagi panggilan kali ini.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani dua hari latihan di Melaka pada 8 dan 9 Oktober sebelum berlepas ke Colombo pada 10 Oktober.

Dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan datang ini merupakan antara persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan di mana Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.




Seterusnya satu lagi aksi persahabatan bakal menyusul iaitu bertemu Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November. – Bernama

SENARAI PEMAIN:

Penjaga gol: Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Haziq Nadzli (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka).

Pertahanan: Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan (Perak); Adam Nor Azlin, Fazly Mazlan (JDT); Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria (Kuala Lumpur); Matthew Davies (Pahang); Rawilson Batuil (Sabah).

Tengah: Kenny Pallraj, Nor Hakim Hassan (Perak); Syamer Kutty Abba (JDT); Akram Mahinan, Syazwan Zainon, Akhyar Rashid (Kedah); Muhamadou Sumareh (Pahang); Azzizan Nordin (Sabah); Mahalli Jasuli (PKNS); Syahmi Safari (Selangor).

Penyerang: Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur); Norshahrul Idlan Talaha (Pahang); Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima).