Melaka hanya kekalkan Ifedayo

Image result for Ifedayo Olusegun

MELAKA: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) membayangkan untuk hanya mengekalkan seorang import dengan melepaskan empat yang lain bagi saingan Liga Super musim 2019.



Naib Presiden MUSA, Mohd Ashiq Abd Samad, berkata setakat ini hanya Ifedayo Olusegun yang mungkin dikekalkan, manakala Yahor Zubovich (Belarus), Shahdan Sulaiman (Singapura), Steven Thicot (Perancis) dan Lee Chang Hoon (Korea Selatan) tidak akan disambung kontrak.

Ifedayo yang juga bekas penyerang FELDA United, kelahiran Nigeria nyata masih diperlukan buat pasukan berdasarkan prestasi semasanya sepanjang beberapa bulan bersama pasukan.

Sehubungan itu, katanya, bekas pemain kelab Rising Stars FC (Nigeria) dan di Liga Divisyen Satu Bahrain yang mewakili kelab Malkiya SCC serta Al-Hidd itu bakal terus menjadi sandaran mengisi tonggak utama penggempur pasukan.

“Dia bakal digandingkan dengan import baharu serta pemain tempatan lain yang dikekalkan membarisi pasukan.




“Mengekalkan Ifedayo bukan bermakna import lain tidak cemerlang, malah mereka juga bertindak agresif untuk membantu kejayaan skuad Hang Tuah layak ke Piala Malaysia musim ini. Namun, kami mahu memberi nafas lebih segar dengan kehadiran awang import baharu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ashiq turut menjelaskan MUSA sedang merencana untuk mengekalkan E Elavarasan yang cemerlang membentuk skuad itu, selain menyenaraikan jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim untuk membimbing Melaka United (MU).

Selain dua individu terbabit dan beberapa nama lain, perkara itu akan dibincang dan diputuskan Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden MUSA, Azly Zahari.

Ketika ini, nama Abu Bakar kini meniti di bibir peminat bola sepak Melaka selepas dikaitkan bakal mengendali skuad MU, musim depan.