Isu gaji pemain MU selesai bulan depan

Image result for pemain melaka united

MELAKA: Isu gaji pemain pasukan Melaka United (MU) akan diselesaikan sepenuhnya pada bulan depan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Adly Zahari.



Adly yang juga Ketua Menteri Melaka berkata pihaknya telah menyelesaikan tunggakan gaji sehingga bulan Julai dan MUSA akan menyelesaikan sepenuhnya gaji pemain bagi bulan Ogos dan September pada bulan depan.

“Tunggakan gaji pemain sehingga bulan Julai telah dibayar sepenuhnya dan selepas ini kita akan bayar baki dua bulan gaji tertunggak (gaji bulan Ogos dan September) pada bulan November ini,”katanya kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, Khamis.

MU sebelum ini dipalit dengan isu tunggakan gaji pemain apabila MUSA menghadapi masalah penerimaan tajaan setelah pertukaran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.




Adly berkata MU tidak bercadang untuk mengugurkan khidmat mana-mana pemain importnya pada musim depan walaupun pasukan tersebut berdepan dengan masalah kewangan.

Beliau berkata khidmat pemain import masih diperlukan bagi mengekalkan prestasi pasukan MU untuk terus kekal dalam Liga Super pada musim depan.

Katanya MUSA akan menyusun semula strukturnya pada musin depan bagi mengimbangi semua faktor termasuk kemampuan dari segi kewangan.

“Kita akan memperhebatkan lagi pembangunan di peringkat akar umbi dengan menyediakan program pembangunan seawal peringkat sekolah rendah bagi melaharikan lebih ramai pemain berkualiti pada masa hadapan,”katanya. – BERNAMA