Perbincangan positif Menteri KBS, Teong Kim

Image result for syed sadiq teong kim

PERTEMUAN secara tertutup melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim berakhir dengan nada positif.



Kata Syed Saddiq, antara isi kandungan yang dibincangkan dalam pertemuan yang berlangsung di Putrajaya itu adalah cara untuk memperkasakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) terma­suk soal gaji Teong Kim.

“Saya telah mengadakan pertemuan empat mata de­ngan Teong Kim yang memakan masa lebih satu jam dan rumusan yang boleh saya katakan adalah sangat positif daripada kedua-dua belah pihak.

“Saya tidak boleh dedahkan butiran terperinci tetapi apa yang boleh saya beritahu adalah kami berbincang mengenai soal masa depan dan cara memperkasakan NFDP ke arah yang lebih produktif.

“Soal gaji Teong Kim turut ada dibincangkan tetapi hanya akan diputuskan pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Syed Saddiq ditemui selepas menghadiri program town hall bersama pegawai dan jurulatih NFDP yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Safirul Azli Abu Bakar di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Sebagai rekod, konflik melibatkan Teong Kim tercetus selepas bekas pemain bola sepak negara itu gagal mencapai objektif membantu skuad bawah 16 tahun (B-16) negara melayakkan diri ke pentas Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.




Persoalan semakin hangat apabila bekas ketua jurulatih remaja Bayern Munich itu di­sahkan menerima gaji sebanyak RM175,000 sebulan untuk menjadi Pengarah AMD.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq turut mengesahkan fokus Kementerian Belia dan Sukan serta MSN ketika ini adalah untuk mencari dana bagi memastikan kebajikan pegawai, jurulatih dan pemain NFDP te­rus terjamin.

“Saya turut mengadakan pertemuan dengan 170 jurulatih dan pegawai NFDP di seluruh negara dan maklum balas yang diberikan adalah baik dan mereka mahu program ini diteruskan.

“KBS dan MSN sedang berusaha untuk mencari dana dan beberapa penaja besar telah menunjukkan minat terhadap pembangunan bola sepak Malaysia.

“Saya harap perjanjian rasmi akan berlaku dalam masa terdekat kerana sekarang segala­nya masih dalam proses perbincangan,” katanya.