Tiada gol dalam 3 perlawanan, Lopetegui tak risau hilang jawatan

Image result for Julen Lopetegui

MADRID: Jurulatih Real Madrid Julen Lopetegui menegaskan beliau tidak bimbang dengan kedudukannya sambil menegaskan kelab bimbingannya itu masih kekal bersaing di kedudukan teratas La Liga meskipun merekodkan sejarah buruk apabila gagal meledak gol dalam tiga perlawanan.



Lopetegui yang ditandatangani Real Jun lalu sekali gus dipecat selaku pengendali Sepanyol sebelum bermulanya Piala Dunia, berdepan kritikan hebat selepas skuad bimbingannya tewas 0-1 kepada CSKA Moscow di saingan Liga Juara-Juara diikuti seri tanpa jaringan dengan Atletico dan tewas 0-3 kepada Sevilla pada saingan La Liga.

“Kami menganalisa apa yang peminat fikirkan,” kata Lopetegui ketika ditanya jika kedudukannya terancam.

“Kami bekerja keras setiap hari untuk memperbaiki permainan. Objektif utama kelab masih kekal.

“Anda perlu menghormati kesemua pendapat tetapi secara logik kelab seperti Real sentiasa berdepan cabaran yang sukar. Tapi kami akan dinilai berdasarkan kepada apa yang kami capai pada hujung musim,” katanya.




Kegagalan Real meledak gol dalam tiga perlawanan adalah kali pertama sejak musim 2006/07 apabila mereka menamatkan saingan dengan menjuarai La Liga pada hari terakhir liga.

Lopetegui menegaskan di sebalik persembahan yang buruk, mereka kini berkongsi 14 mata dengan Barcelona yang memimpin liga hanya menerusi perbezaan gol.

“Anda berdepan tekanan tinggi di Real Madrid tetapi kami kekal memberi fokus sepenuhnya.

“Kami masih berkongsi mata di kedudukan teratas liga dan saya pasti pada saingan Liga Juara-Juara kami akan kembali bangkit seperti di awal saingan. – REUTERS