Bantu Juventus benam Udinese, Ronaldo tetap berbisa

Cristiano Ronaldo put Juventus 2-0 up in the first-half as his side beat Udinese on Saturday

UDINE, Itali: Cristiano Ronaldo mengetepikan kontroversi tuduhan rogol dengan menjaringkan gol buat Juventus ketika menewaskan Udinese 2-0 awal pagi tadi sekali gus mengukuhkan cengkaman takhta Serie A dengan 24 mata.

Penyerang Portugal itu meledak rembatan daripada sebelah kiri gawang lawan untuk jaringan kedua pada minit ke-37 selepas mendapat hantaran daripada pemain Croatia Mario Mandzukic empat minit selepas jaringan pertama oleh Rodrigo Bentancur.



Itu adalah gol keempat Ronaldo musim ini untuk pasukan barunya sekali gus kemenangan kesepuluh berturut-turut juara bertahan Serie A itu dalam semua kejohanan.

Ronaldo yang mengunci mulutnya selepas tamat perlawanan membuat isyarat bagus ketika meninggalkan bilik persalinan sambil diraikan penyokong yang menjerit namanya “Cristiano! Cristiano!”.

Pemain bintang itu tidak menunjukkan sebarang tanda tekanan ketika beraksi biarpun dipalit isu rogol yang mampu menjejaskan kredibiliti dan imejnya.


Polis Amerika Syarikat membuka semula siasatan dakwaan rogol oleh beks model Kathryn Mayorga ke atas pemenang lima kali Ballon d’Or itu yang dilakukan pada Jun 2009.

“Saya tak tahu apa yang berlaku di rumahnya, saya tidak tinggal dengannya,” kata jurulatih Juventus Massimiliano Allegri.

“Apa yang saya tahu ialah apa yang dilihat di atas padang. Dia bekerja keras dan hari ini dia menjaringkan gol hebat.” – AFP