VIDEO Bangkit benam Newcastle, Mourihno masih dapat sokongan
MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendedahkan dia menerima pesanan mesej sokongan daripada anggota lembaga pengarah kelab itu menjelang perlawanan mendebarkan yang berkesudahan United menewaskan Newcastle 3-2 di Old Trafford, awal pagi ini.
Spekulasi terhadap kedudukan Mourinho timbul sebelum bermula perlawanan itu susulan permulaan buruk United pada awal musim ini dengan pasukan itu ketinggalan 2-0 dalam tempoh 10 minit yang boleh menunjukkan pintu keluar kepada pengurus dari Portugal itu.
Tetapi Alexis Sanchez menyuntik kebangkitan mengagumkan United pada babak kedua apabila dia menanduk masuk gol kemenangan selepas mendapat hantaran lintang Ashley Young pada minit terakhir perlawanan.
“Mereka yang membaca akhbar, mereka yang mengikuti media sosial, mereka mesti menganggap yang mungkin saya sudah tiada,” kata Mourinho.
“Jika saya tidak menerima SMS daripada lembaga saya untuk tidak membaca (akhbar) saya mungkin sudah yakin,” katanya.
Tetapi apa yang terjadi pada 10 minit awal mungkin menyebabkan Woodward juga kembali memikirkan kedudukannya semula.
Gol pelawat disebabkan kelemahan pertahanan United yang dikatakan punca kemerosotan pasukan itu sepanjang musim ini. – AFP