Final Piala Malaysia 2018: Tiada perubahan tempat dan tarikh

Final Piala Malaysia 2018: Tiada perubahan tempat dan tarikhPERLAWANAN akhir Unifi Piala Malaysia 2018 akan tetap berlangsung di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober ini sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, setakat ini tiada sebarang makluman berhubung pindaan yang dibuat bagi tarikh berkenaan.



“Mengikut sumber yang dipercayai, kita difahamkan tarikh serta venue perlawanan akhir Piala Malaysia tidak berubah dan masih kekal di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober ini.

“Oleh itu, semua penyokong bola sepak Perak diharapkan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai spekulasi di laman-laman sosial berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang tular media sosial mengenai tarikh perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia yang ditunda kepada 3 November 2018.




Sementara itu menurut Abdul Aziz Yeop, jika Perak berjaya ke final, satu lagi permohonan akan dibuat kepada FMLLP bagi menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebagai venue perlawanan akhir.

Katanya, permohonan berkenaan dibuat setelah mengambil kira daripada segi kemudahan seperti kapasiti stadium yang boleh memuatkan ramai penyokong termasuk ruang parkir yang lebih luas selain kemudahan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT).

“Perak mempunyai penyokong yang ramai, selain Terengganu dan JDT. Sebab itu kita nak mohon agar venue perlawanan akhir dapat diubah ke SNBJ,” katanya.