Manchester City nafi usaha pancing Messi

Image result for messi CITY

LONDON 14 Okt. – Manchester City menafikan dakwaan bahawa mereka gagal dengan bidaan untuk mendapatkan tandatangan legenda Barcelona, Lionel Messi.



Messi beberapa kali telah dikaitkan dengan City sejak bekas bos Barcelona, Pep Guardiola dilantik selaku pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu pada 2016.

Pengerusi City, Khaldoon al Mubarak dipetik kenyataannya menerusi akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo sebagai berkata, dia pernah membuat tawaran lumayan terhadap Messi, yang dilaporkan sanggup membayar kepada pemain itu lebih daripada sejuta pound (RM5.46 juta) seminggu.

“Kami meminta Guardiola agar berunding dengannya, kami sedia menawarkan tiga kali ganda bayaran gaji yang diterimanya di Barcelona, tetapi Messi tidak pernah menerimanya,” kata Mubarak.




Namun, City memberikan maklum balas terhadap dakwaan tersebut dengan menegaskan, bahawa laporan itu tidak benar sama sekali.

“Kami menafikan kebenaran petikan kenyataan tersebut,” kata jurucakap City.

Penyerang Argentina, Messi pernah bermain di bawah kendalian Guardiola selama empat musim di Barca, yang menyaksikan mereka memenangi 14 gelaran. Pemain berusia 31 tahun itu telahpun menandatangani kontrak baharu dengan Barca pada November 2017.

Guardiola telahpun memenangi gelaran Liga Perdana dan Piala Liga bersama City, musim lalu. – AFP