England belum setanding Sepanyol – Kane

LONDON: Harry Kane mengakui England belum dapat menyaingi kehebatan penguasaan bola Sepanyol menjelang pertembungan Liga Negara-Negara Eropah esok pagi ketika dia masih bergelut untuk membuktikan potensinya sejak memenangi anugerah Kasut Emas Piala Dunia Julai lalu.



“Kami belum sampai tahap mereka mengekalkan penguasaan bola,” Kata Kane mengenai pasukan lawan itu yang menjaringkan 10 gol dalam dua perlawanan terakhir mereka.

“Kami memiliki kualiti berbeza. Kami memiliki kepantasan dalam pasukan, keupayaan berdepan satu lawan satu dan itulah cara yang boleh kami lakukan untuk mengatasi mereka.

“Ia bakal menjadi perlawanan yang sukar tapi inilah pengalaman yang anda mahu rasai.”

England hanya mengutip satu mata daripada dua perlawanan pembukaan Kumpulan 4 dan mereka meratapi kekalahan 2-1 kepada Sepanyol di Wembley awal bulan ini ketika Saul Niguez dan Rodrigo menjaringkan gol untuk memadam jaringan pembukaan Marcus Rashford.




Kapten England itu berdepan kritikan selepas hanya menjaringkan enam gol dalam 13 perlawanan untuk kelab dan negara sejak musim panas lalu.

Kadang kala dia bergelut untuk memberikan aksi terbaik yang menjadikannya seorang daripada penyerang berbisa dengan ledakan enam gol di Piala Dunia.

Andai terus buntu menjaringkan gol di Seville esok bermakna, dia sudah kemarau jaringan tujuh perlawanan bersama England, iaitu rekod paling lama dalam karier antarabangsanya.

“Ia situasi sukar selepas Piala Dunia, tidak mendapat rehat yang cukup tapi saya fikir saya boleh mengatasinya,” kata Kane. – Reuters