Bolt ditawar kontrak dengan kelab Malta

Image result for Valletta FC bolt

MELBOURNE 16 Okt. – Jaguh pecut Olimpik, Usain Bolt telah ditawarkan kontrak selama dua tahun untuk mewakili sebuah kelab bola sepak di Malta, yang sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin menarik diri daripada sesi percubaannya bersama sebuah pasukan Australia, Central Coast Mariners.



Juara Malta, Valletta FC berkata, mereka berharap dapat menandatangani pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak lapan kali itu bagi membolehkan Bolt bermain dalam perlawanan Piala Super Malta pada 13 Disember ini menentang Balzan.

“Kehadiran Bolt amat dialu-alukan dan di Valletta FC, percaya tiada apa yang mustahi,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Valletta, Ghasston Slimen yang dipetik kenyataannya oleh ESPN.

Ejen Bolt di Australia, Tony Rallis, mengesahkan Bolt ada menerima tawaran tersebut, lapor ESPN.

Bolt menjaringkan dua gol untuk Mariners sewaktu menyertai sesi ujian pra-musim bersama kelab itu, Jumaat lalu, tetapi dia masih belum ditawarkan sebarang kontrak profesional oleh pasukan Liga-A tersebut.




Jurucakap Mariners berkata, masih tiada perubahan kedudukan Bolt di kelab itu, dan laporan yang menyatakan dia akan meninggalkan sesi percubaan bersama kelab hanyalah khabar angin.

Bekas pelari pecut Jamaica berusia 32 tahun itu berulang kali menyuarakan harapannya untuk mengikat kontrak bersama Mariners menjelang kempen Liga-A 2018/19 yang akan melakukan sepak mula pada hujung minggu ini.

Rata-rata pengkritik bola sepak di Australia berkata, Bolt telah mula menunjukkan peningkatan dan mempamerkan tahap kecergasan yang baik sewaktu Mariner meraih kemenangan 4-0 ke atas sebuah pasukan amatur, Jumaat lalu, tetapi dalam masa sama berpendapat jaguh pecut itu masih berada di luar tahap untuk bersaing dalam liga utama Australia. – REUTERS